Sabtu, Julai 21, 2012

:: Ramadhan, Yang Dirindu ::

Views
 Engkau , 
Yang Aku rindu.
Menjengah,
Pabila tiba waktu.


Ramadhan, 
Akhirnya menjengah, hadir mengibarkan bendera 'Assalamualaikum wahai hamba-hamba Allah sekalian'. 
Terasa Sinar menyusup ruang yang gelap.
Maka, Aku sambut ia dengan senyuman..Menyapa kembali 'salam' itu dengan hati yang lapang. 


"Ahlan Wasahlan Ya ramadhan !~ " Ungkapku. 


Ramadhan Kali ini, Sedikit mengejut. Lebih awal dari dijangka, Datang dulu mengetuk 'pintu' di bumi sahrawi sebelum menjengah di tanah air ku 'malaysia'. 


---------------------------


Ramadhan lepas, setelah bertahun-tahun tidak pulang ke malaysia, akhirnya waktu itu Allah izinkan melabuhkan kerinduan untuk balik sebentar menyebar bakti kepada keluarga. Ramadhan lepas terlalu manis untuk dikenang, dan paling sukar untuk dilupakan. 
Namun, Ramadhan kali ini.. moga natijahnya lebih bererti , menggapai tangan yang penuh debu dosa ini, moga ditarik untuk berubah ke arah yang lebih manusiawi. 


Ramadhan kali ini, agak sedikit menyiat hati. Bukan kerna tidak bersedia dengan hadirnya kini. Tetapi, terlalu merindukan suasana ada disisi bonda di setiap hari untuk jerih, payah dan susah untuk mencari sesuap nasi dan memburu rezeki yang halal untuk dinikmati. Masakan tidak... berniaga salah satu telepati untuk mentarbiyah diri. Mengajar hidup susah dan bukan sekadar goyang kaki. Kalau tidak, bagaimana ingin hidup seandainya kemana kita dicampakkan , sama ada di langit , di pulau mana pun, kita mampu hidup berdikari?


Tarbiyah ramadhan
Aku terlalu merindukan tarbiyah bersama bonda. Tarbiyahnya yang tidak terduga, mengajar menjadi insan yang lebih berguna dan mengenal apa itu erti tadhiyah yang sebenarnya. 
Seusai pagi ,bangun dan bersedia. Keluar bersama bonda ke kedai dan membeli segala perkakas untuk berniaga, kemudian bergotong royong berdua untuk masak hidangan untuk dijual di bazar sana. Bersekang mata dan perut jua pastinya. Kerna yang didepan mata masakan bonda yang hebat-hebat belaka. Setiap hari, aktiviti yang sama dilakukan, dari pagi sampai ke maghrib, dan selepas maghrib ke masjid dan bertarawihnya. Semuanya menjadi list hidup yang tetap sewaktu ramadhan lepas. 


Manisnya, hanya dapat dirasa bagi sesiapa yang merasainya. 
Ramadhan lepas, jarang sekali aku dan bonda dapat merasa berbuka dengan tenangnya di rumah. Selalunya , kami akan berbuka di tepi jalan sewaktu perjalanan pulang ke rumah dari bazar ramadhan. Pasti di tepi jalan, kami memberhentikan kereta di tepi sawah padi, menjamah sisa air tembikai yang dijual, dan melihat matahari terbenam yang terlalu indah untuk dinikmati. 
Langit senja merah, selalu menjadi hadiah yang terindah daripada Allah untuk  kami berdua.


Ramadhan lepas, 
Jiwa sering-sering sahaja memberontak letih dan penat dengan agenda seharian yang tidak lekang dengan lelahnya. sampai satu saat, pernah sahaja memohon sangat-sangat keizinan daripada bonda untuk menjengah ke luar mencari nafas sendirian di tempat yang aku suka. Tetapi, selalunya 'cuti' yang diminta daripada bonda jarang sekali diluluskan. Yelah, maka tiadanya aku, siapa yang akan menemani bonda? adik-adik semuanya sibuk bersekolah. Dan tinggal aku di mahligai itu bersama bonda. Siapa lagi yang akan menemani susah payah bonda untuk kami..Saat itu, selalunya serba salah dalam hati akan bermukim pekat. Kalau aku memohon 'cuti ' daripada berkerja, sedangkan bonda bagaimana? tidak pernah langsung merungut untuk berehat dari kerja, walhalnya hari-hari bonda menuai peluh dan sentiasa tersenyum melakukan apa sahaja untuk anakanda-anakandanya yang kian membesar dewasa. Bonda yang jarang mengeluh, Bonda yang jarang bersungut . Sentiasa berfikiran positif atas segala musibah yang terjadi keatas keluarga kami. Itulah bonda, tarbiyahnya yang cukup hebat untuk dicontohi. Sorotan matanya jelas penuh dengan sengsara, tapi.. Baginya cukup Allah yang mengetahuinya.
Subhanallah.


Ramadhan kini,  
Gelodak-gelodak jiwa sering resah memikirkan perjalanan terakhir yang akan dilalui. Ramadhan terakhir di bumi sahrawi, perlu lebih juhud untuk memecut ke arah matlamat yang ada di garisan penamat yang tersedia untuk dinikmati. Mengecapi kemanisan ramadhan, tunaikan tugas sebagai 'tullabul 'ilmi' , dan pulang dengan jayanya sambil meraih ramadhan yang cemerlang, dan najah dalam berperang dengan imtihan yang menjadi kayu ukur untuk kepulangan ke malaysia tidak lama lagi.


Moga dipermudahkan untuk kali ini, untuk menerbit sinar harapan ke hadapan nanti. 




Nota SKH:
Ramadhan Yang barakah, 
Sampaikan kepada Tuhan Rabbul Jalil, Aku merindui-NYA. 


Ramadhan Yang indah, 
Sampaikan pada Ilahiku yang Agung, Mohon dipersembuhkan kekandaku yang sakit tenat. Moga sakit yang dialami adalah kafarah dosa untuknya, dan diusir ranting-ranting jahiliyah yang menjalar, serta mengajarnya untuk menjadi HAMBA YANG BERTUHAN.


Ramadhan yang berladangnya pahala
Sampaikan harapanku pada Rabbku, 
' Ya Allah, Ku sambut hadirnya bulan yang penuh ampunanmu dengan bahagia. Ku berharap melalui redho-Mu, mampu ku jalankan semua perintahmu dan kembali ke jalan fitrah dengan adanya ENGKAU sebagai TUHANku.  Maafkan khilafku, Ikhlaskan hatiku, dan Penuhi jiwaku dengan sinar-MU. Agar tiap langkah kakiku mendapat redho-MU yang satu"


Ramadhan Mubarak, 
Tidak selamanya jasad mampu mendabik di atas bumi ini, kerna ajal tidak mengira entah bila jangka hayat yang tinggal. 
Sebelum lidah kelu hati membeku, Jempol kaku..Moga nafas menjadi tasbih, tidur menjadi ibadah.. Amal juga diterima dan doa di ijabah.


Ya Allah, keampunanmu ku harapkan. Terasa jauh melampau dosa-dosa yang ku genggam. 


- AtinJieha-
21Julai2012
2 Ramadhan 
25 hari lagi di bumi urdun.

Ramadhan, 
Rindu ini sentiasa terpahat di sanubari.
Moga hadirnya kali ini, 
Mendekatkan jiwa dengan ILAHI. 

Ahlen Ya Ramadhan!





☂Asal Allah redho,Tinta Ini Pasti Bernada.Ya, Teruskan Tersenyum!☂

0 ulasan:

 
COPYRIGHT@Segala Yang Tercatat Di Atas Semua Hak milik Atin Jieha Pemilik SKH