Ahad, Januari 06, 2013

:: Misi :: 1

Views
Kau Cegah,
Kau Redah,
Jangan menyerah, 
Jangan Pasrah.
Bawa kuntuman DAKWAH,
Jadikan ia terus memekar Megah! 


" Bakti , Kita ada misi . "
Cahaya menyerahkan sepucuk surat.
Lalu diambilnya. 'Misi' tersebut bertukar tangan , bakti membuka isinya dengan perlahan. Hati kecilnya berbisik,
' Misi apakah yang berkunjung kali ini'

" Gegarkan Media Dengan DAKWAH ! "

Tulisan merah, isinya singkat. Sebaris ayat, namun kandungannya agak sarat.
Dahinya berkerut, kening bagai tersambung. Bakti meletakkan kembali surat itu dalam sampulnya.
Terdiam.
Cahaya sekadar memerhatikan.
Dia tahu anak muda ini pasti arif dalam melaksanakan propaganda misi yang bakal tercetus dengan idea yang akan mereka anyam untuk gegarkannya.

"Kenapa kita berdua yang perlu melaksanakannya ? "
Bakti menyoal bagai resah. Entah kenapa mas'ul yang berjiwa gagah ini persis cacing kepanasan. Bagai tidak betah selepas menerima misi tersebut.
" Kenapa bakti tanya? Adakah taklifat ini terlalu berat untuk enta? "
Cahaya menguji. Mungkin ada alasannya.

" Bukan.. mengapa tidak disatukan rijal dengan rijal dalam satu kumpulan, dan nisa bersama nisa pula dalam satu kumpulan ? Misi ini bukan tamrin 'adi ( latihan biasa ) . Perlu kekentalan jiwa dan inovasi yang serata. "

Cahaya tertawa kecil.
Walau bakti merupakan salah seorang pimpinan gerakan as-soffat , namun ada secebis situasi yang membuatkan dia jangal di situ.
" Barangkali bakti sudah lupa bahawa, Gerakan as-soffat yang mengikuti tamrin Qiyadi baru ini bersama mursyid hanya kita berdua kan? Jadi, semua solidariti yang telah ditamrin akan mendapat misi baru usai pulang ke Gerakan masing-masing. Tamrin kita juga adalah 'Sirr' iaitu rahsia. Yang tidak terlibat , tidak boleh mengetahui perancangan yang digariskan. faham ? "

Bakti mengangguk. Cahaya menyambung lagi .
" Jadi, tidak kisah dia rijal atau nisa, misi ini harus dilaksanakan. Apakah enta kaget kerna yang bergandingan dengan enta adalah nisa' ? Termakan dengan pujukan dunia yang mengatakan nisa' hanyalah insan-insan yang dilahirkan lemah.Tiada kudrat yang sedaya rijal, tidak arif dalam gerak kerja dan susun atur idea yang mencambahkan kemenangan , malah bimbang nisa' adalah golongan yang hanya tahu mengikut perasaan, begitu? "

Bakti menggeleng.
" Tidak.. tidak! bukan itu maksud ana. Ana tahu cahaya yang ana kenal jiwanya persis serikandi, beridealogi dan lincah dalam penyusunan strategi. Mungkin ana risau, keterbatasan gerak kerja kita sahaja nanti . kerna ana rijal dan enti nisa' . Harus waspada dalam setiap perkara. "

Cahaya memahami.
Rijal di hadapannya adalah makhluk yang tersangat menjaga hatinya dengan rapi. Jadi, dia tidak akan berkecil hati.
" Bakti, jangan lupa bahawa dibelakang setiap lelaki, ada kelibat wanita yang menjadi penguat pancangnya. Allah berfirman, ' Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan RasulNYA. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.' Kan bakti? "

Cahaya tersenyum.
Bakti menunduk. Hatinya sedikit terpujuk. InshaALLAH, ini jalannya.
Dia yakin misi kali ini akan berjaya dengan idealogi daripada solidariti yang berbeza. 
" Ya , Jom Mara ! Oh ye cahaya, mohon sampaikan kepada semua pimpinan as-soffat bahawa kita ada musyawarah tergempar."
Bakti bersiap sedia, cahaya mengangguk. Siap sedia dengan senjata dakwah mereka, memprogramkan strategi yang luar biasa.
Untuk membasmi MEDIA yang telah dieksploitasi oleh tangan-tangan yang mungkar.

---------------------------

Semilir pagi, sehening subuh.
Ada jasad dan ruh yang sedang bertimpuh di atas sejadah dengan jiwa yang teguh. Seutas tasbih menjadi peneman, bibirnya terus mengumam, " Subhanallah,walhamdulillah, Allahuakbar.."
Sesekali diseka titisan air mata yang laju mengalir, sambil memegang kejap pada tasbih pemberian arwah ibunya..dia meratib tanpa henti. Matlamatnya satu, moga Allah ilhamkan wadah untuk meneraju misi yang telah diletakkan pada pundak bahunya itu. Dia memohon secebis kekuatan, daya fikiran dan membersihkan hatinya dari terhalang untuk menyelesaikan misi yang beragendakan 'mencapai keredhaan TUHAN'.

" Bakti... "
Sayup-sayup bagai terdengar satu suara yang amat dirinduinya. 
"Bakti anakku, setiap amalmu, tancapkanlah ikhlas didalamnya.Kelak Allah akan membantumu. "

Terngiang-ngiang pesanan arwah ibu. Al Fatihah dikirim segenap kalbu, moga sampai untuk ibu.
Lantas, dia mengambil mushaf yang terletak disisinya..dikucup dan dibuka helaian demi helaian, tangan yang menyelak terhenti pada surah as-soff ,

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
 Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). "  


Firman  yang sejajar dengan matlamatnya. Terima kasih Allah , atas ilham yang telah ENGKAU tuai melalui ayat cinta-MU.

Dia bangun. 
Di simpannya Al quran.
Lantas, telefon bimbitnya dicapai. 
Mencari nombor cahaya di dalam kekotak taliannya. 
" Ukhti, kita lancarkan stategi yang telah dirancang. Jangan lupa untuk pertemuan tengah hari nanti bersama Tuan Wira, bentangkan apa yang telah kita programkan. dan juga proposal yang telah dilakar, wajib dibawa. Rencana kita harus bergerak kencang. "
Mesej dihantar. 
Kali ini dia yakin.  

----------------------------------------

"Apa yang kalian mahu kali ini bakti, dan kamu cahaya? " 
Tuan wira angkuh bernada soal. Pemilik seluruh industri media dan hiburan semalaysia menjual pandang. 

"Tuan, kehadiran kami bukan ingin membantutkan segala rencana  tuan. Tapi tujuan kami adalah ingin berkongsi dengan tuan tentang saham akhirat. Kami perlukan sokongan dan kerjasama tuan untuk menjayakan misi yang telah kami programkan ini. Tentang mendakwahkan Media yang telah dicemari. Mahukah tuan membantu kami? "
Bakti beralih kepada cahaya. Menggunakan isyarat mata agar cahaya menyerahkan fail tersebut pada Tuan Wira. Dengan lafaz bismillah, Cahaya menyerahkan fail  proposal yang telah siap sedia dilakar. 

"Dakwah? akhirat? apa perlu media pada dakwah dan itu semua ?  Manusia hanya mahukan hiburan dan keseronokan. Bila dipapar tentang dakwah, segelintir sahaja yang meninjau. Yang lain akan tukar siaran dan bosan.Ataupun, akhbar-akhbar tiada siapa yang sudi menghulur wang. Semua itu menjemukan. Maka, akhirnya kami yang merangkul kerugian, bukan kalian ! Dah, persetankan sahaja niat kalian itu. Pulanglah , ini bukan tempat kalian. pergilah masjid, surau.. Itu lebih layak untuk kalian nak cakap soal agama atau akhirat.  "
 Tuan wira membelakangkan mereka. Mendengus sambil tersenyum sumbing. Baginya, mereka ini hanya lalat-lalat kecil  yang hanya tahu mengerumuni sisa-sisa makanan yang terbuang. Tidak langsung memikirkan wawasan yang lebih bersinar. Masa hadapan perlu memburu dan menguasai dunia . Mencari kekayaan dan mencipta nama yang gah gemilang.

Tuan wira menekan interkom. Memanggil setiausahanya membawa keluar kedua anak muda itu. Proposal yang diberikan tadi dicampak ke atas meja tanpa menyelak isi helaiannya. 


Badan cahaya menggeletar. Pantang baginya manusia yang memperlekehkan akhirat. Apatah lagi dakwah yang membawa bendera islam. Manusia, semakin ditelan kemajuan, semakin lupa pada diri. Lalai dengan perintah ILAHI. Dikaburkan dengan wang ringgit , kemewahan yang hanya sementara. 

Tanpa terduga, air mata terkeluar di tubir matanya. Menahan kesal yang membungkam. 
Dia bangun ingin mencantas belati tajam yang termuntah dari bibir sang jutawan itu. 
Cahaya mengesat air mata itu. Dan menepuk tangan.
" Pap..pap... ~ "

Tuan wira terpana, bakti tersentak. Namun dia sedar, cahaya bukan gadis yang calang-calang orangnya. Pasti ada perisai yang bakal menepis manusia yang takabur dengan dunia itu.

" Wahai tuan wira, izinkan saya menuai kata. Barangkali tuan wira sudah lupa, bahawa sesungguhnya media persis senjata yang boleh digunakan untuk keamanan dan kemusnahan. Bahkan celik pandai dahulu pun pernah menyatakan bahawa jika meriam mampu memusnahkan sistem feudal, maka dakwat pula mampu memusnahkan organisasi sosial medan. Tuan, bukankah setiap rangkaian bersadurkan hiburan yang melaghakan, Lantas dihidangkan kepada semua rakyat samaada dari yang muda hingga ke peringkat dewasa dan tua, setiap yang melihat dan membacanya, dosa mereka diberikan kepada tuan satu persatu. Apa , hebatkah pundak tuan untuk menanggung segala dosa seisi dunia? andai dosa itu mampu diperlihatkan pada kita, pasti tuan tidak akan mampu menanggung bebanan tersebut. Entah-entah beratnya dosa-dosa yang tuan tanggung dan dosa orang lain yang ligat mencintai hiburan dan dunia itu, tuan sendiri tidak akan mampu lagi berdiri megah seperti sekarang. Tapi tuan, sungguh Allah Maha penyayang, memberi masa untuk ruang sedar tuan.."


(  Bersambung .. )


Nota SKH:
-_- 
* Maaf, sekali lagi terpaksa bersambung. Atas jadual kerja yang padat lagi ketat. Tiada masa rehat, atau ruang untuk memikat . Memikat ilham terjun ke taman. InshaAllah, bakal menyusul beberapa hari ini. untuk kesudahannya, pasti menjelang.
Dengan izin ALLAH~
Banyak lagi inginku karang dan rungkai. Nantikan cerita yang tidak seberapa. :)



Nukilku 
AtinJieha
06012013
23:05 p.m






☂Asal Allah redho,Tinta Ini Pasti Bernada.Ya, Teruskan Tersenyum!☂

0 ulasan:

 
COPYRIGHT@Segala Yang Tercatat Di Atas Semua Hak milik Atin Jieha Pemilik SKH