Memaparkan catatan dengan label Diari Sang Bidadari. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Diari Sang Bidadari. Papar semua catatan

Khamis, Disember 06, 2018

:: Kawan ::

Views



Mata yang berkaca-kaca
wajah yang dihias sendu
kepalanya bertakhtakan awan mendung
Menanti hujan menyimbah  basah tubuhnya.
Aku mengambil sekaki payung
Menerpa kearahnya sepantas kilat
Aku bukakan payung dan cuba mengusir awan hitam di kepalanya.
Nyah..nyah .. Bilangku.

Dia masih berdiri kaku.
Tertunduk suram pasrah untuk melawan .
Melawan takdirnya yang malang. 

Baru hendak ku paculkan sedikit butir kata,

Langsung sahaja luruh deras air matanya.

Lebih lebat dari hujan. 

Lebih Dahsyat dari dentuman guruh,

Lebih pantas dari kilat.

Aku panggil dirinya.
Dongakkan kepalamu kawan!
Dunia belum sampai ke penghujungnya,

Masih ada ruang untuk bernafas. 

Kalau bukan untuk manusia lain, 

Dongaklah demi dirimu sendiri.  

Kepalanya makin dipalingkan ,
Bahunya semakin bergegar,
Esak tangis kedengaran. 
" Bagi aku ruang untuk luruhkan segalanya di dalam hati ini.
Bila sudah terlerai semua. Aku janji aku dongak semula.  "
Bisik dia perlahan. 

Aku angguk.
Aku masih disisinya.
Ku tepuk-tepuk bahunya, 
Aku cuba senandungkan kalam-kalam  Tuhan.
Aku mahu dia damai. 
Mungkin sedikit nyaman.
Dia melihat ke arahku, 
Dia cuba gagah tersenyum dengan mata yang luruh bersama hujan.
Aku membalas senyum.
Ku genggam jari jemarinya.
Aku sadurkan kekuatan. 
Dia membalasnya dengan eratan.

Ahh.. Hatiku sedikit lapang.
Kurang-kurang ada peluang.
Peluang menunjukkan padanya bahawa dunia ini tidak semua kejam dan kelam. 

Dia menyelak hijab tabir hatinya tunjuk padaku, 
Tergamam aku seketika.
Betapa banyak torehan luka di setiap sudut ruang. 
Calar-calar yang tidak terkira ,
Ada yang meninggal parut, 
Ada yang bagai masih baru di tusuk belati tajam daripada lisan manusia.  
Tercengang,
Lantas aku menangis bersamanya.
Aku cuba nikmatinya hujan bersamanya. 
 Sabarlah kawan, 
Aku ada untukmu.
TUHAN lagi setia menanti kepulanganmu. 
"Aku bantu engkau untuk jahit setiap luka itu boleh?"
Usulku dengan mengeluarkan kekotak bebenangku.

Dia angguk.
Terpacul sedikit sinar dari matanya.

" Marilah.. " ajakku..


Nota SKH:
Hati-hati aku jahit lukanya,
Dengan bebenang cinta yang mempunyai banyak warna. 
Terkadang mengaduh juga dia,
Mungkin terasa ngilu lantaran sakit.
Aku jadi sedih. Moga aku jadi kawan yang mampu terus-terusan menjahit lukanya hingga sembuh.
Kawan, 
Mungkin engkau letih hari ini, 
Namun ke hadapan, ada senyum yang menanti. 
Langkah lah setapak kawan.
Kalau-kalau tangki iman melemah, 
Tanganmu terpakai-kapai dan tika itu tiada apa yang diharapkan, 
Jangan lupa bahawa ada sahabat yang sanggup mengenggam, 
Memelukmu dengan haba iman. 
Mendoakanmu dari lubuk hati yang paling dalam. 
Ya, 
Kadang banyak hari derhaka dari hari sedar, 
Kita sama menuntun tangan yang bernoda ini , menjauhkan dari jasad menjadi lalai. 
Jauh dari neraka , dekat dengan bau syurga. 


Sabda Rasulullah s.a.w,
"Di belakang kalian akan ada masa-masa sulit yang menuntut kesabaran. Orang yang sabar pada saat itu laksana menggenggam bara api. Orang yang beramal shalih di masa itu akan mendapatkan pahala lima puluh orang, dari kalian"
(HR Thabrani)

Moga Allah,Rabb yang Pengasih sudi titipkan 'tangan-tangan' buat mengesat tangisnya.
Kawan,
Ada ALLAH yang memerhati dan melindungi jasad, jiwa dan hatimu yang kerdil.
Sabar itu kunci. Senyum itu sembunyi.
Yang luar biasa itu gagah yang tertampil, luka dilindungi.
Allah~
 Tabahlah, gagahlah
 walau mehnah selalu terpanah di jiwamu yang lemah.
Moga syurga untukmu kawan!
 
Pemilik Seni kiasan Hati
-Atin Jieha-
06122018
17:18 pm


☂Asal Allah redho,Tinta Ini Pasti Bernada.Ya, Teruskan Tersenyum!☂

Isnin, Februari 12, 2018

:: Kau Tahu Kawan, Balang Ilusi::

Views



Kau tahu kawan,
Aku sedang membuka gulungan-gulungan nota kecil 
dari Balang ilusi yang kau hadiahkan.
Aku sapu habuk,
Aku tiup debu yang bermukim.
Aku buka dan ku intai isinya.
Aku baca kembali, 
Aku hayati kini.
Dan aku jadi rindu,
Rindu yang tersangat parah. 
Untuk mengulang detik-detik bersama kamu.

Kau Tahu kawan,
Detik-detik dahulu tidak mungkin mampu diulangi.
Mustahil.
Kerna kita sudah berbeda situasi.
Aku menahan rasa rindu ini dengan sendiri. 
Dan aku tahu kau sudah pergi melupai,
Sahabatmu ini yang telah jauh pergi. 

Kau tahu Kawan,
Nota-nota kecil itu, 
Terkandung kenangan dahulu.
saat kau menyantuni aku,
Kau mendamaikan aku.
Lalu kau pasti tuliskan nota kecil
Tanpa dipinta kau masukkan ke dalam balang kaca ilusi itu,
Kau coret cinta, 
Kau lukis jwa.
Kau senandungkan dengan lirikan hatimu,
Kau letakkan gugusan-gugusan senyummu,
Dan tidak lupa berduyun-duyun nasihat kau patrikan dalam cebisan itu.
Bagaimanakah aku mampu melupakan kau sahabat ?

Membaca cebis-cebis Nota itu, 
Kejap senyumku menjelma,
Kejap rawanku merana.
Kadang ada air mata terselit ditubir mata, 
Kadang ada bunga memekar di minda.

Balang ilusi ini hanya satu-satunya kenangan antara kita.
Kalau kau baca, 
Ketahuilah, 
Aku sentiasa ada.
Tidak bisa seperti biasa, 
Namun masih ada untuk di kenang sepanjang hayatnya. 
AtinJieha
Pemilik Seni Kiasan Hati
12022018
16:58P.M
 

 Yang nampak balang ilusi itu, 
Hanya Aku dan Kau.
Dengan mata hati,
Ia muncul .
Dengan menutup hati, 
Ia hilang.
Nanti-nanti, 
Kalau tiba-tiba nama aku terlayang di fikiran ,
Kau kenangkanlah balang itu,
Dan jangan lupa rantaikan doa darimu untukku, 
Agar aku tetap gagah seperti kau dewasakan aku dahulu, 
Dengan kalam-kalammu yang membangunkan aku!



☂Asal Allah redho,Tinta Ini Pasti Bernada.Ya, Teruskan Tersenyum!☂

Isnin, Februari 05, 2018

Surat Buat Bidadari Kecil Ku :: Selamat Hari Lahirmu ::

Views




Untuk yang berkongsi sebahagian hati ummi,
Masihkan kau ingat lagi saat 9 Bulan kebersamaan kita berdua?
Tika kita berada di dalam satu nafas,
Dalam satu detak berbahagi kehidupan dalam sekecil ruang.
Dimana Rahimku menjadi tempat aman bagimu.
Ketika sedihku membuatmu resah,
Ketika senyumku membuatmu tenang.
Dalam setiap gerakan , kamu berkata.
Dalam setiap tendangan halus,
Kau cuba memberi isyarat makna.
Indah , bergitu indah .
Sampai saat dimana ragamu siap siaga hadir ke Bumi untuk mencari ruang teduhan yang baharu.

Jam itu,
Dalam nafas desah nafas dan keseorangan ummi,
Nyawa ku pertaruhkan disitu.
Segenggam tabah,
Sepenuh kekuatan,
Lahirlah kamu diiringi tangisan kegembiraan.
Detik itu , Menandakan kemenangan besar buat ummi .
Kerana menerima kurniaan teragung daripada ILAHI.
Selamat hari lahir untuk tanggal yang dinanti.
Untuk kamu yang menjadi pertama di dalam kantung Rahim ummi,
Kamulah yang teristimewa anugerah terindah pernah ummi nikmati.
Seperti nama yang ummi abi telah mematrikan kepadamu,
Jadilah ‘ Bidadari yang sentiasa menundukkan pandangan ‘
di dalam dunia yang semakin lesu dan sendu.

Al Haura’ Thorfina,
Percayalah,
Zamanmu, zaman yang penuh tipu duniawi.
Kalau suatu saat nanti kau tersasar jalan dan langkahmu pincang,
Ketahuilah..
Ummi abimu ini sentiasa ada di sisi kanan dan kiri,
Di segenap ruang yang terisi.
Menyokongmu tanpa henti. 

Anakku,
Ummi sayangi kamu.
Maafkan ummi yang tidak pandai mendidikmu dengan sempurna.
Kalau suatu saat nanti kau sudah dewasa,
Mengertilah, ummi sudah cuba melakukan sedaya upaya.
Melihatmu membesar menjadi Bidadari Pilihan TUHAN YANG ESA
Untuk berdiam di dalam SYURGA.

Selamat hari lahir sayangku,
Bidadari kecil yang berkuasa menimbulkan ukiran senyumku,
Dan menjatuhkan air mata ummimu. 


Doa ummi,
Moga kamu menjadi pandangan mata yang selalu membahagiakan saat kesedihan mendatang,dan mengingatkan ummi saat diuji untuk terus memberikan senyuman.
‘Solehah lah sayang! ‘

 AtinJieha
20012018
00.01A.M


☂Asal Allah redho,Tinta Ini Pasti Bernada.Ya, Teruskan Tersenyum!☂

Selasa, Februari 11, 2014

:: Masih Basah ::

Views
Masih Basah.
Pelupuk-pelupuk rindu.

"Apa yang ada di sisimu akan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal.Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yg lebih baik dari apa yg telah mereka kerjakan" 
[16:96]
Hari ini hari hujan.
Walau hari cerah terang benderang,
Namun..
Ada tetes-tetes berbaur rindu pada pipi yang bungkam.
Sosok jasad itu dirindu.
Lantas..
Al Fatihah digumam, pelerai amukan rindu.

" Abang..! "
Senyum beserta tangis.
" Abang ..! rindu.. ~"
Bayangan wajahnya menerpa. Dipujuknya hati , mencari 'tenang' yang hilang seketika.
" Atin Tahu tak, abang pernah kata..banyak-banyak adik, atin adik yang paling dia sayang. "

Allah.
-----------
Membelek potret-potret lama. Seakan gambar itu berbicara.Setiap potret punya cerita.
Duka,Suka,
Tangis,Tawa.
Melihat dengan kaca mata hati, pasti kita mampu mengetahuinya.
Tidak semestinya yang tersenyum itu gembira, dan yang memaparkan bibir segaris itu berduka.
Tapi..
ada satu wajah, memendam sakit derita.
Namun senyumnya kembang bugar sentiasa.
Menatapnya bercucuran mutiara jernih di pelupuk mata.
Menatapnya lagi membuatkan fikir dan ingatan menerawang pada kenangan-kenangan lama.

Kenangan sewaktu kita berbagi rasa, berkongsi dan bercerita. Membesar terpisah dan akhirnya kembali bersama. Semua itu tidak mampu dilupuskan dari sudut hati .
Masakan tidak, sedari kecil.. telah banyak cabaran bersama yang telah kita tempuh. Membuat antara kita semua bersatu hati mengorak langkah demi langkah hingga dewasa.

Aku tahu,
Tidak mudah menjadi seperti dirinya. Kadang mulut tertawa dalam suka,
mata menangis dalam duka. Betapa waktu telah membuatkannya kuat.
Persis helang, Kuat mengepak sayap di birunya Langit,

Abang,
Sering-sering sahaja kepadamu tanganku menadah. Dihadapannya dilepaskan segala gundah, Abang tidak pernah lelah, dan selalu mengalah. walau adik-adiknya selalu bikin susah .

Abang,
Tidak terasa begitu cepat waktu berlalu, kerinduan akan masa-masa kecil dan membesarnya, kini hanya bisa ku kenang dan tidak akan lagi terulang. 

Meskipun kini dia jauh disana, Aku yakin dia pasti bahagia. 

Hujan.
Aku menulis dengan basah mata.
Aku rindu kan arwah.
Dan kerna dia, aku kini belajar sepertinya. Menjadi anak yang baik hingga tertancap diingatan kedua ayah bonda walau tiada.

Wahai Allah, ampunilah dia, naikkanlah darjatnya diantara orang-orang yang mendapat hidayah, dan lindungilah keluarga dan keturunannya yang masih hidup. Ampunilah dia dan kami, wahai Tuhan sekelian alam, luaskanlah kubur baginya dan berikanlah cahaya didalamnya.


Basah,
Masih Basah.






☂Asal Allah redho,Tinta Ini Pasti Bernada.Ya, Teruskan Tersenyum!☂

 
COPYRIGHT@Segala Yang Tercatat Di Atas Semua Hak milik Atin Jieha Pemilik SKH