Rabu, Mac 14, 2018

:: Kaktus ::

Views

Assalamualaikum Taman Teman, 


Moga bunga-bunga hati yang sedang memekar terus berkembang. 
Kalau-kalau kau bakal layu, ketahuilah.. kau tetap dikenang atas jasamu menyerikan halaman. Memberi sentuhan indah yang tertancap dalam ingatan .
----------------------------------------------------------------------------------------

" Ku petik lagu-lagu rindu,
Beberapa kali aku putar nada-nadanya,
Ku mainkan untuk mengingatimu,
Menyelam kenangan-kenangan lalu,
Saat di mana tangan kau dan aku berpegangan kukuh,
Bertaut teguh.
Dan detik ini, aku menulis.
Untukmu,
Sempena hari jadimu.
Kau masih ingatkan aku menulis untukmu dahulu, 'Kaktus' ? " ( Wanita Kaktus )


Kaktus...
Tanggal hari ini, serasa ku tanggal yang indah sekali.
Tanggal yang pernah menjadi penyaksian tunas yang memekar,
Di tengah-tengah padang tandus gersang,
Kau membesar dengan tenang.

Kau tahu kaktus,
Aku cuba mengingatimu.
Terutama jiwamu.
Jiwamu yang besar walau hakikatnya tubuhmu kecil.  
Hatimu pula sukar ku gambarkan.
Kerna ia terlalu berharga untuk diaksarakan.

Kaktus,
Untuk memutarkan memoir-memoir lama, 
Aku belek-belek potret yang berhabuk itu,
Kau ada terselit disitu.
Kau bawa hati yang manis sekali.
Pernah berkali-kali kau hadiahkan aku kemanisan itu untuk dikongsikan.
Dan pastinya aku genggam sampai sekarang.

Kaktus,
Bertahun-tahun lalu, aku kenali  mu di jalan dakwah. Jalan berliku-liku yang aku berjanji untuk menapak di atasnya. Meskipun perlahan, berkat huluran tangan mu dan yang lain, aku cuba kekal.
Sekalipun terpaksa aku merangkak, aku tetap ingin terus di atasnya.
Ya, kau hadir dengan senyuman yang memberikan kekuatan.
Kadang aku tercemburu, Kau mampu terus menceriakan teman-teman disisimu , meskipun duri-duri yang membalutimu terkadang membuatmu berdarah. Torehan luka itu kau kaburkan dengan segaris senyuman .
Kau gagah kan. Aku kagum.
Pasti sekali kerna kau sepohon kaktus. Yang tegar berjuang di bawah terik-terik matahari.
Berdiri gigih di malam hari.
Aku ingat sekali, kaktus,
Kau selalu memegang erat lenganku dengan cermat, Kau tunjukkan cara untuk menjadi pohon yang utuh kalbunya. Ia tersemat. Dan aku masih terjemahkan ia dalam hidupku.

Kaktus,
Kadang air mata yang bergenang sukar sekali dilihat, terlitup dek kain kecil yang menutupi wajah. Tapi kau tetap sedari nya. Hebat kau kaktus. Bahkan setiap kali ada air yang bergenang di tubir mataku, Pasti diseka oleh mu keras. Dan aku pasti pantas menggeleng , kerna aku malu diberi nikmat yang begitu hebat dari TUHAN. Iaitu seorang sahabat yang mampu melihat tetingkap hati aku yang rawan. Walau sesekali aku langsung tidak terjemahkan duka itu. Aku kagum denganmu kaktus. Si kaktus  yang berusaha mengeraskan hati sendiri untuk aku si kerdil itu. Biarpun berkolah air mata aku alirkan, Kau menyerapinya dengan akar-akarmu. Kau simpan air itu ditubuhmu, untuk dijadikan air penawar dahaga jiwa yang tersesat di tanah tandus dan gersang itu.
Kau kaktus, yang berjuang untuk masa hadapan, kau pasakkan kekuatan berbanding kelemahan semalam , untuk esok yang harapnya berseri bahagia.


Kaktus,
Kau tahu di lubuk hati yang paling dalam ini ,namamu terantai cantik  nun disitu.
Walau tiada khabar dariku untuk berbahagi kisah denganmu, Kerna masa yang tidak langsung mengizinkan aku melantun rindu. Jangan bimbang. Rindu aku selalu memercik. Untuk sepohon kaktus yang memeluk erat jantung hati aku.
Biarpun tusukan-tusukan duri darimu itu membuatkan hati ku berdarah, Itulah bukti aku sentiasa mencintaimu kaktus.


Kaktus,
Kau tahu kan aku ada sepasang sayap?
Kalau-kalau kau rasa lelah berdiri,
Kalau-kalau kau rasa sunyi, 
Kalau-kalau kau rasa penat  di pandang dengan keji, 
Yang kemudiannya telinga kau bingit dengan kicauan cerca manusia,
Kau datangilah aku disini.
Aku ingin sekali hadiahkanmu sepasang sayap .
Sayap yang mampu terbangkan engkau tika ampuh,
Bawamu ke langit yang tersergam biru,
Untuk merawat hati yang rapuh.
Jangan bimbang kaktus, walau ia sayap imaginasi, padanya tersadur janji.
Janji untuk terbangkan kau ke serata pelusuk negeri,
Untuk menunjukkan bagaimana hidup bererti.
Aku namakannya Sayap Bidadari.
Tapi kan,
Kalau sayap aku rapuh,
Jangan gusar.
Aku ada kaki , yang akan menjadi tongkatmu nanti,
Untuk melewati hari demi hari dengan pasti.
Percayalah..
Walau hakikatnya tidak mudah.


Kaktus,
Masa cemburu lagi ,
Aku perlu pergi meninggalkan tinta ini.
Kau tahu kan setiap yang tercatat di taman ini, insan-insan yang aku rangkulkan di dalam tiap deretan huruf itu manusia yang aku sayangi.
Jadi, izinkan aku kembali ke realiti.
Meneruskan kerja aku sebagai suri.
Nanti..nanti.. aku datang lagi.
Mencatat lagi kisah-kisah manis dengan mu dan yang lain. Supaya tua nanti aku boleh membaca kembali kenangan aku yang tidak mampu ulangi.
kaktus,
Ini sahaja hadiah untuk hari jadimu.
Tidak mampu aku kirimkan Hadiah dari jauh, cukuplah untaian doa yang tiada jemu dari taman hatiku.

Aku, si kerdil itu.Yang menyayangimu. Si kaktus.🌵
Ikhlas.



Kaktus , 🌵
Tidak wangi tapi berduri, 
Keras tapi didalamnya lembut berisi.
Dengan tampungan-tampungan air yang menyejukkan sanubari, 
Hasil kerja kerasmu mengerahkan akar-akarmu menyerap air-air di dunia yang kontang kering.
Hahh,
Tertawa kecil aku.
Biarlah berjuta-juta aksara pun aku nukilkan,
Langsung tidak mampu terjemahkan seluruh tentang kau yang aku kagumkan. 



AtinJieha
Pemilik Seni Kiasan Hati
13032018
5.11 P.M


" Aku sudah tulis-tulis semalam, Tapi beberapa kali aku padamkan. Aku ulangi , dengan seka-seka air mata. Bukannya apa , aku tulis , rindu aku jadi lagi parah. Maka, aku padam lagi, tapi aku teringat kamu.Akhir nya aku tulis lagi, Dan ini lah hasil yang aku ingin berikan kepadamu. Sahabat yang sangat memberi kesan di dalam hati. Terimalah apa-apa yang aku rapukan ini. "

 
 

☂Asal Allah redho,Tinta Ini Pasti Bernada.Ya, Teruskan Tersenyum!☂

0 ulasan:

 
COPYRIGHT@Segala Yang Tercatat Di Atas Semua Hak milik Atin Jieha Pemilik SKH