Rabu, April 25, 2012

:: Siapa Kita ? Itulah Kita ::

Views

Nota SKH:

Kita lebih kenal diri kita yang sebenar
Kemampuan, semuanya terletak di genggaman
Letakkan pergantungan pada Rabbi
Maka pasti dia tunaikan impian kita yang berkobar-kobar..
Ya! Yang pasti..
Menjejak ribuan mimpi
Lontarkan di garis-garis pelangi
Sayap kanan kiri merajai
'Pantas' yang dikibar saat ini
Garapan yang 'dihembuskan' pada rautan titian firdausi
Suatu saat pasti akan bersemi!~

☂Asal Allah redho,Tinta Ini Pasti Bernada.Ya, Teruskan Tersenyum!☂

Selasa, April 17, 2012

:: Tongkat Sakti ::

Views

Pejam..
Pejamkan mata
Sentuhkan hatimu dengan kedua belah tanganmu
Rasakah degup jantungmu yang berdetak?

* satu suara menyapa



"Oh ye~ Jangan sampai terlelap
Kelak engkau akan menyesal tidak berguna."


*  Aku iyakan sahaja.
" Baik..
Tapi, andai aku pejamkan mata, apa yang engkau akan lakukan?
Siapakah engkau? 

Kenapa aku tidak mampu  dan dapat melihat engkau?
Kenapa hanya suara-suara halusmu yang bergema digegendang telinga aku?"


Tiba-tiba suara itu disisipkan dengan tertawa lembut darinya.
Bagai sedang berbisik, ia singgah kembali ke cupingku.


"Aku adalah engkau.."
"Dan Engkau adalah aku.."
"Kita sentiasa menyatu, dan aku sentiasa ada padamu.
Nah! ambillah tongkat sakti ini."


Terkebil-kebil..
" Untuk apa? "


"Tongkat sakti ini kepunyaanmu. Selagi hayatmu masih ada, selagi juga engkau bernafas di permukaan bumi ini. Dan tongkat sakti ini akan sentiasa berada di tanganmu. "

" Tapi...~ Apa yang perlu aku lakukan dengan tongkat sakti ini?"


" Dengar sini..
 Tongkat sakti ini sangat berguna buatmu.
 Namun , ia adalah amanah yang perlu engkau pegang erat ia sampai bila-bila pun. 
Ketahuilah, tongkat sakti ini mampu buat engkau terbang di mana-mana sahaja taman untuk engkau mewarnai mereka dengan segala jalur pelangi yang terbias melalui tongkatmu ini. 
Dengan tongkat yang engkau miliki ini, pada saat dan tika itu, engkau pasti akan bertukar menjadi si bidadari kecil untuk engkau kibarkan kedua sayapmu, dan berusaha menebarkan debunga bahagia buat serata alam yang engkau lalui dan kemana engkau pergi..
Ingat! tongkat sakti ini adalah amanah buatmu. sadurkan ia dengan segenap cinta dan kasihmu.
 Disitu engkau mampu mengubah alam dengan ceria, biar semesta ini akan terus berwarna. 
Maka, terbanglah engkau nanti dengan kegiranganmu, tapi jangan sesekali dengan sendu."


" Namun, siapakah engkau? Tolong khabarkan pada aku.."


" Aku, suara hatimu. Yang sentiasa bergema saat segala rasa yang kau cipta. 
Dan lantas yang melantunkan kembali di segenap jiwamu. Itulah aku, Seandainya ingin melihat, lihatlah dengan ruang lingkup mata hatimu. "


* Aku terdiam, dan dia beransur pulang dan hilang


Di tangan kananku Mashaf Al-Quran, Di sebelah kiriku tongkat sakti yang dibekalkan.
Dengan lafaz Bismillah, aku goyangkan tongkat sakti itu. 
Bibirku berulang kali menyebut asma-NYA yang 99.
Sesaat sahaja, aku berubah menjadi bidadari yang sangat kecil. Punya dua sayap, dan aku adalah bidadari yang berjilbab labuh. 
Bukan seperti pari-pari lain yang aku bayangkan selama ini. Cantik, tapi tidak kena dengan gaya ku.
Gaya ku mahu yang solehah-solehah sahaja.
Tapi , kini..inilah aku.
Bidadari kecil yang solehah, berjilbab labuh.. Punya dua sayap yang indah. 
Aku menggayakan jasadku yang berbalut busana indah tersebut.
Andai busana ini sangat indah, mesti ALLAH adalah yang lebih sangat-sangat terindah dalam hidupku.





Fuhh~
Dah tiba saatnya aku melancarkan misi .
Misi mewarnai dunia dengan tongkat saktiku.
Dan bakal ku alunkan sekali kalimah-kalimah yang tercatat dalam mashaf yang lengkap punya titah-NYA.
Agar, nanti..semua yang mendengar, akan bergegar dan getarnya tangkai hati mereka. 
Tidak perlu aku lantunkan lagu-lagu yang mengkhayalkan..
Kerna suara aku pun bukan sesedap untuk bergurindam.
Cukup dengan aku tebarkan puing-puing rindu daripada TUHAN.
Pencipta ALAM, Pemilik Seantero semesta yang bergemerlapan.

Aku singgah di  singgahsana saksi pertama, terkebil-kebil dia melihatku.
Tapi, di pipinya ada air mata yang beralur. 
Aku cuma tersenyum. 
Aku terbang ke arahnya..Bertenggek di bahu dan membisikkan azimat-azimat dari mashaf yang aku pegang.
"Allah Kekasihku dan Kekasihmu minta aku menyampaikan pesan padamu, Mahukah engkau dengar? "
Gadis itu mengangguk..
DIA bertitah buatmu, dalam surah al-baqarah yang penuh dengan rencah pengubat hati,
" Adakah engkau menyangka bahawa kamu akan dapat masuk ke dalam syurga, padahal belum kamu mengalami duka derita yang pernah dialami dan menimpa orang terdahulu sebelum kamu."

Matanya berkaca.
Ada sinar..
Perlahan-lahan senyuman mulai terukir dibibirnya.
Aku sedikit lega..
Dia melantunkan Astargfirullah, Dan aku melafazkan alhamdulillah.
Secebis titah-NYA telah mengemudi kembali hati gadis itu yang sedang gersang.

Gadis itu menyentuh kepala ku,
"Terima kasih bidadari kecil. Aku redho dengan segala Ujian "
Dan dia terus berlalu pergi , aku puas. Walau terpaksa melepaskan gadis itu tanpa sempat aku bertaaruf panjang.
Aku menggoyangkan tongkat sakti itu.. meninggalkan jalur-jalur pelangi di singgahsana yang ku mampir ini.
Biar nanti, saat gadis itu kembali. Dia akan tersenyum melihat keindahan tersebut. 
Aku kibarkan sayapku..
Mahu terbang ke tempat yang seterusnya.

Dari satu tempat ke satu tempat aku singgah..
Aku gariskan jalur kegembiraan dan nyahkan jalur dukacita yang sebelum ini melebat meruntun hati saksi-saksi yang ku jengah.

Ada juga saksi-saksi yang bersiul-siul girang dan melantunkan puisi buatku,
Aku tersipu malu.
Tahu sahajalah bila aku malu, aku rasa mahu menyusupkan wajahku dibalik-balik kelopak bunga yang sedang berkembang.
" Hai bidadari kecil,
Dalam hatimu ada taman,
dalam taman ada bunga yang berkembang,
Ada bunga-bunga yang indah, ada juga pohon yang rendang.
Hatimu ada insan ingin menumpang teduh.Kau lah bidadari yang baik hati , yang membantu aku melawan kesepian. "
Aku tertawa halus.
Ahhh~ gadis ini sangat mencuri hatiku ,Membuatku girang.
Hanya pada dia , sempat aku melafazkan salam.
Salam taaruf yang pasti bakal hingga ku lupus ditelan zaman.

Aku terus redah..redah semua taman yang terhampar.
Tapi, tetiba kudrat ku lelah. Aku tidak mampu gembirakan semua alam. Kudrat ku secebis, tenagaku sangat nipis. 
Sayapku makin kaku.. Walau aku cuba dan berusaha goyangkan seperti dahulu. Ia semakin lama, semakin terhakis  ditelan waktu.
Ohh, aku perlukan 'mereka' yang pernah aku gembirakan saat dahulu. Mereka sudah kembalikah di singgahsana yang pernah aku warnakan jalur-jalur pelangi dengan tongkat saktiku?

Tongkat yang aku pegang tidak lagi mampu menjelmakan aku menjadi bidadari kecil yang indah itu. Dan aku kini adalah aku.
Asalnya aku, dan kini itulah aku.
Dengan tongkat itu, aku jadikan ia sebagai tongkat untukku gantikan sayap ku yang telah hilang.
Aku kembali menjadi seorang.
Tanpa diduga, mutiara-mutiara putih yang ku tahan, gugur satu persatu.
Ya~ hakikatnya aku masih seorang manusia . Tetap seperti gadis-gadis yang pernah menjadi saksi yang pernah aku cuba damaikan.

" Bidadari kecil...Oh Bidadari Kecil..."

* Ehh.. ada satu suara berbisik.
Suara dahulu yang pernah menjengah gegendang telingaku.
Kali ini , aku dapat lihat ia dihadapan ku.
Itu, suara hati ku.
Dan dia adalah aku. Hadir kini memberikan aku dorongan dari TUHAN.



" Sahabatku, kau umpama pohon kelapa,

Sering memberi manfaat kepada sekalian manusia di sekelilingmu
Memberi teduh kepada insan yang memerlukan
Memberi cahaya dan bahagia kepada insan sekelilingmu
Meleraikan gundah dalam hati insan yang sedang kelukaan
Teruskan sahabat
Teruskan memberi manfaat kepada insan yang memerlukanmu
walaupun kerapkali insan yang datang berteduh disisimu tinggalkanmu tanpa kata setelah awan datang..
Ingatlah Sabda Nabi:
"Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain "
Tapi ingat,
Jangan disebabkan ingin memberi cahaya kepada sekalian insan lain, dirimu terabai dan cahaya itu hilang. .kerana kerap kali memberi cahaya tersebut kepada insan lain. 
Jangan jadi seperti lilin ,
Tapi jadilah seperti bulan yang sentiasa menerangi insan dalam kegelapan."



Suara itu mencuit hati.
Aku kembali beraksi.  Masih ada mashaf di tanganku ini. Kali ini tangan kiriku , ku gantikan dengan tasbih untuk aku memuji dan memuja Tuhanku yang tidak pernah langsung meninggalkan aku sendiri.
Biar lelah menjaga hati, Allah tahu apa yang terbaik untukku ini.

Ohh! 
Teruskan menebarkan kedamaian, Jom kita hamparkan kasih sayang. Biarpun nanti, kita akan terus-terusan pasti ada saat yang akan rebah kerna ketandusan..
Kalau buat kerna TUHAN, segalanya akan baik dan tenang.


- Atinjieha -
17 april 2012
Bayt imtiyaz Crew, Jordan.
Antara duka dunia,
Mahupun duka di akhirat..
Baik memilih duka dunia,
Untuk menggapai bahagia di akhirat. :)

Nota SKH:
Tanam benih-benih cinta,
Baja dengan sayang.
Kelak berbunganya gembira,
Hati pasti akan girang.


-> Terima kasih buat peluntur dan pengubat hati ini berduka semalam, sungguh! engkau sahabat , dan engkaulah teman.
[ kak adek ' Rabiatul Aisyah' ]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)



☂Asal Allah redho,Tinta Ini Pasti Bernada.Ya, Teruskan Tersenyum!☂

Rabu, April 11, 2012

:: Trimatra Ukhuwah : Mereka & Kita ::

Views

Dengan Nama-NYA , Aku kembali menjengah. 
Mengambil sedikit masa ,menyemai benih-benih suka dan resah di persada maya.
Andai dikatakan orang baru:" sebulan tidak menulis itu biasa" , tapi~ Bagi ku..itu benar-benar meresahkan aku. 
Kerna , apa yang perlu aku kongsi dan taburkan ketenangan disini telah tersepit sebentar. 


Hari ini , aku rungkai satu persatu yang termaktub dan terlekat dalam minda dan hati yang tidak dapat dilampiaskan sejak dua menjak ini .
Atas faktor masa dan percambahan kerja yang terkadang aku terpaksa korbankan peribadi, lantas aku sekat ia untuk menukilkan sebarang kalam untuk bergurindam dalam seni kiasan hati . 
Hakikatnya, kita yang perlu mengejar masa, bukan masa yang mengejar kita.





Bicara Ukhuwah.


Setelah Karnival Sukan Mahasiswa Malaysia se-Jordan (KARISMA) telah melabuhkan tirainya, sedikit sebanyak aku mulai kembali menghela nafas yang tersesak sebelum ini .
Pengakhirnya Bahagia!
Alhamdulillah~
Juara kita dapat, Ukhuwah Kita Dakap. Sesuai dengan moto KARISMA V yang dibawakan kali ini, 
" Juara Utama ,Ukhuwah Bersama "
Namun, suatu kenangan yang pasti tidak dapat dilupakan adalah kemenangan yang telah dirangkul oleh 'Mu'tah teater'. 
Bukan JOhan yang kami banggakan , tapi pementasan teater yang telah menusuk hati-hati mereka terutama Kami. 
Semua kerana Ukhuwah.
Dan tiada yang mampu menghancurkan tautan itu kecuali ALLAH.



-Teater Trimatra Ukhuwah : Mereka & Kita -

Satu-satunya teater yang telah menyentuh hati mengenai pengorbanan yang tinggi kepada satu ikatan yang bernama UKHUWAH.
Seminggu yang lalu, sering sahaja kami bersama , berlatih,tidur dan makan bersama demi berusaha bersungguh-sungguh untuk mempersembahkan yang terbaik  buat pementasan pada KARISMA tersebut.

Teater yang membawakan tiga babak yang berlatarkan masa Zaman Rasulullah mempersaudarakan Kaum muhajirin dan ansar,  Rentetan daripada Titah-NYA berfirman:

" Dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri madinah serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-prang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada mereka sendiri. Sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan ingatlah , sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

( Surah Al-Hasyr : 9 )

Dan kisah di mana saat perang yarmouk , Bagaimana Abu jaham bin huzaifah telah mencari sepupunya dari kalangan tentera muslimin yang menyertai peperangan tersebut. Serta disitu terjadinya penyaksian bagaimana itharnya mereka mementingkan teman lain dari diri mereka sendiri sewaktu masing-masing dalam keadaan tenat dan haus, Mereka tetap mendahulukan sahabat-sahabat mereka untuk meminum air  yang di bawa oleh Ab Jaham bin huzaifah tersebut. 
Alangkah indah Ukhuwah kerna ALLAH ~ Allahuakbar. 
Saat peristiwa ini dilakonkan kembali, jujur aku katakan. Hati ini sangat bergetar kerna terasa sayu dan syahdu dengan pengorbanan mereka. 
Bagaimana tingginya tadhiyah dan ITHAR mereka , secebis pun tiada pada ku.. Allah~

Babak Kedua pula kami menyajikan persembahan saat akhir zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid II . Tatkala itu  sultan abdul hamid II telah didatangi oleh beberapa orang daripada kalangan yahudi iaitu Imanuel Qarh Sou, Aram, As'ad Tubtoni dan 'Arif Hikmat yang mana mereka membawakan tawaran -tawaran yang menguntungkan dan sangat menarik. 
Antaranya Mereka memberikan tawaran :
  • Mereka akan menjelaskan semua hutang kerajaan Turki Uthmaniyyah
  • Mereka akan membangun dan Menggiatkan Aktiviti dan perdagangan serta perindustrian untuk Turki
  • Mereka akan menyediakan pelbagai kemudahan pengangkutan dengan membina jalan keretaapi dan kapal laut
  • Mereka juga akan membina sebuah universiti yang dilengkapi kemudahan  moden
  • Mereka akan menggunakan 100% akhbar untuk mempertahankan sultaan bagi menghadapi kuasa barat
  • Dan Yang terakhir, mereka ingin menghadiahkan wang sebanyak 100 juta nilai emas kepada tuanku Sultan.
Namun, Pihak Yahudi Laknatullah telah menyatakan syarat untuk Sultan Abdul Hamid II menyerahkan Bumi PALESTIN kepada mereka.

Tapi, walau bagaimana pun, tawaran-tawaran tersebut tidak mampu mengugat sultan Abdul hamid II untuk menyerahkan apa yang diminta oleh mereka kerana beliau tidak akan sesekali membenarkan daulah islamiyah dipisah-dipisahkan sedangkan  beliau masih hidup.

Babak Ketiga pula menyajikan kemelut yang melanda kini. 
Tahun 2012, telah banyak sejarah yang telah termaktub ..Namun , hakikatnya..Kita selalu terlupa lalai dan leka untuk kembali berpusing ke arah sejarah yang telah berlaku untuk mengambil iktibar serta berusaha merencanakan perpaduan kesepakatan antara seluruh umat islam di dunia ini untuk kembali menegakkan syiar islam dan membantu umat islam dan masyarakat yang tertindas.

Yang pastinya,
Kemelut yang berlaku pada PALESTIN sejak dari dulu sampai sekarang. Kita hanya memandang enteng tanpa tembakan doa pun kita malas untuk menghantarkan peluru-peluru senjata mukmin.

Sabda Baginda pernah dilantunkan :
"Kelak umat-umat lain akan mengerumuni kalian seperti orang-orang yang lapar  mengerumuni makanan mereka. 
Salah seorang bertanya : Adakah kerana bilangan kita sedikit pada waktu itu?
Baginda menjawab: "Tidak, Bilangan kalian ramai , namun kalian adalah seperti buih di lautan. Allah akan menghilangkan perasaan takut dari hati musuh kalian dan Allah akan mencampakkan perasaan wahan dalam hati kalian."
Salah seorang bertanya : " Apakah itu wahan wahai Rasulullah?"
Nabi S.a.w menjawab: Cintakan kehidupan dan takutkan kematian."

Allah...
Palestin dibelasah , dibunuh...
Apa yang kita lakukan?
Sekadar melepaskan 'keluhan' Kasihan dan tanpa satu pun tindakan yang menunjukkan kalian peduli pada mereka.
DiMana DOA?
Dimanakah Kesatuan?
Dimanakah ukhuwah yang termeterai yang pernah dipupuk Rasulullah dahulu zaman?

Realitinya kini , Ananiyah ( pentingkan diri sendiri ) telah menjalarkan dalam tubuh  dan jasad kita.
KITA telah tersadai di bawah telunjuk yahudi yang telah mendoktrinkan sistem sekular dalam hati dan jiwa kita.

Kembali untuk kembali.

Laksanakanlah kembali bermula hari ini. 
Sama-sama kita cuba ingat dan mengingatkan antara sesama sendiri.
Peranan dan tanggungjawab yang telah terbengkalai selama ini.
Moga ALLAH ampunkan kita kerna yang lalu kita telah mengabaikan saudara-saudara kita.
Moga diberikan ruang untuk memperbaiki ~



Kerana Trimatra Ukhuwah,
Aku semakin belajar.
Untuk terus menyebarkan bahagia, sebelum genderang dipalu dan terpaksa ku pulang.

Kerana Trimatra Ukhuwah,
Semakin aku mahu bersama mereka, menyemai sayang menuai kasih.
Membaja rindu sebelum ku tinggal.

Kerana Trimatra Ukhuwah,
Baru aku tahu betapa dahsyatnya kuasa rabithoh ukhuwah sesama insan sehinggakan jika terdapat salah satu bahagian anggota yang mengadu kesakitan, seluruh badan akan turut berjaga malam dan menanggung penderitaan.
Dan yang pasti , sahabat ku jua sedang berperang, menahan kesakitan dan cuba berdiri gagah untuk sembuh .
Sedangkan aku melihatnya turut merasa kesan ..Allah, tolong sembuhkan beliau~
Hati ini tidak tertahankan..

Kerana Trimatra Ukhuwah,
Wang ringgit tidak mampu menjadi penghalang, nilaian jutaan emas mahupun harta yang berganda tidak mampu mengaburkan mata untuk korbankan sebuah persahabatan.
Bukan harta dan material yang dicari, Tapi tautan ukhuwah yang mampu memimpin kita hingga ke Jannah ( Syurga ), dan memberi ruang dan peluang untuk kita mengubah kehidupan berlandaskan Al-Quran.

Kerana Trimatra Ukhuwah,
kita bergabung dengan lafaz kalimah Lailahaillah .
  • Salamatus Sodri 
  • Toleransi 
  • Ithar
Ketiga-tiganya perlu dihadami dan praktik dalam kehidupan ini, Agar lebih bercambah gemersik-gemersik kasih kerna ALLAH.
Until Jannah ye ! 

Nota SKH:
Tidak mampu menjadi sesetia dan seteguh  Abu Bakar Siddiq, Tapi pasti boleh menjiwai sifatnya kan~
Sayangi mereka dengan seadanya:
"Geng teater Mu'tah " 
-kekurangan seorang waktu ini -> arini waznah tetap dalam hati walau tiada dalam gambar-





-Atin Jieha -
11 april 2012
11:15 a.m
[ Sama ada aku yang memalu dahulu  genderang tersebut , mahupun  dikau..
Kita tetap bersaudara dalam iman ]

sahabat
Dia datang dan pergi
hadir dan kembali sepi
Tidak penah membiarkan sahabatnya dibuai mimpi
sentiasa berada di sisi menemani
Namun
Dia mahu pergi
Pesannya
tidak semua yang indah itu kita merasai
Tidak semua yang perit itu juga yang kita rasai
Tapi kita merasa keduanya serba sedikit
Sekeping hati
Kalau itulah bicaranya
Apa lagi mahu dihalang
Cuma selalu sahaja berkata dengan hati
Agar tenang dan sabar menempuhi
Agar hati bisa terpujuk
Kerana hati juga punya rasa
Walau terkadang sukar untuk dimengerti
Kata sahabatku lagi
izinkan dia pergi
walau kakinya bagai terpasung luka
walau hatinya tercalar bisa
Izinkan dia melangkah jua
tangisku tidak sekali dia lupa
Bukan dia tega
bukan dia rela
Izinkan dia pergi jua
Di hatinya ada wahyu yang merayu
Di jiwanya tidak pernah ada tunggu
Walau terjerat,walau hakikat
Dia mesti pergi jua
Kerna genderang itu telah berbunyi
Dia terpaksa pergi
pesannya jangan menangis lagi
ayuh melangkah sepertinya
kerna dia mengerti aku adalah ..
Bidadari berhati duka berwajah ceria~
Tapi
Doaku ..
YA ILAHI..kembalikan sahabat ku itu
bisikkan pada hatinya
kerna hanya dia sahabat yang tercinta
kerna cintaku adalah kerna-MU
cermin sakti antara kami

- Rindu kata-kata sakti, penguat dan doa dari sahabat -sahabat sejati
Maka, dinukilkan sajak ini kembali disini -


☂Asal Allah redho,Tinta Ini Pasti Bernada.Ya, Teruskan Tersenyum!☂

 
COPYRIGHT@Segala Yang Tercatat Di Atas Semua Hak milik Atin Jieha Pemilik SKH