Jumaat, Oktober 12, 2012

:: Cerpen - Terukir Di Bintang :: Episod ( 1 )

Views


Pada Bintang, Kau Berdiam
Semakin hari ,semakin bersinar
Bersama bulan , Kau bergandingan
Menyinar indah serata alam.


Angin malam yang berhembus lembut, Nyanyian unggas yang menemani kesepian malam.. Sedikit demi sedikit meleraikan jiwa yang kabut. 
Lantas di kuakkan jendela seluasnya, mengintai langit di malam yang gelita. Di renung kedua-dua penghias langit yang sentiasa mengindahkan malam. 
Bulan dan bintang, tiada garis pemisah. Seiring bersama, seia dan sekata. Tugasnya menyerikan wajah malam di kanvas langit.
" Bintang itu...." Bibirnya mengumam perlahan.

" Qalbi.. Apa yang di tengok kat luar  tu? kenapa buka tingkap malam-malam ni? Kesian bayi dalam perut tu.  " Suara ibu yang tiba-tiba memecah kesunyian dan menyentuh lembut bahu telah mengejutkan lamunannya. 
" Ohh Ibu..Tak adalah. Qalbi tengok langit je ibu. Qalbi bosan..Lagipun dah lama qalbi tak jenguk bintang kat atas langit itu. " Aku tertunduk sebentar. Terasa sebak seketika.

Sekilas wajah ibu bagai didatangi mendung, seakan bakal mencurah hujan ribut yang lebat. 
Aku bersalah. 
Aku tahu ibu juga sedang menelan peritnya. 
Aku tersenyum walau tawar dan pahit terasa di lubuk hati. Di peluk bahu ibu, di usap kedua pipinya. 
" Ibu..ibu ingat tak waktu qalbi kecil-kecil dahulu apa yang pernah qalbi beritahu ibu ? "
"Pasal bintang ? " Ibu menerbitkan jawapan . Aku mengangguk. 
" Sekarang dah bertambah dua lagi bintang milik kita berdua kan ibu. Untuk abang mujahid, ayah dan abang khalis.. Tiga kesemuanya. " 
Aku memeluk erat ibu. Bimbang ada mutiara yang tertumpah. Jangan~

---------------------------------------------

" Ibu ! Ibu ! "
Qalbi kelam kabut berpusu lari,
Tudung yang sedikit senget, berpakaian Kurung hijau PASTI , meluru masuk ke rumah tanpa sempat memberi salam. Si cilik itu, asal balik mesti ada sesuatu yang hendak dikongsi tanpa sempat-sempat membuang pakaian sekolahnya. 

Ibu menggelengkan kepala. Telatah satu-satu anak gadisnya terkadang membuatnya pening kepala, terkadang juga membuatnya tertawa.

" Qalbi.. Kan ibu dah pesan, sebelum apa-apa kena bagi.... "
" Bagi salam ibu! assalamualaikum ibu qalbi yang cantik..!  sambil tersengih menampakkan sebaris gigi putih bersih. Segera menarik tangan dan menyalami ibunya.Ibunya tergelak kecil, ada-ada sahaja si cilik ini . 


" Anak ibu ni, lari-lari masuk rumah, tak sempat bagi salam ni kenapa? macam kena kejar hantu je tau," kasihnya ibu mengusap ubun-ubun qalbi dan seraya mencubit lembut pipinya. cerita apakah kali ini yang bakal berkumandang dari mulut becok anaknya. 

" Ibu! qalbi dah tahu jawapan di mana abang mujahid selama ni. " tersengih lagi ibu, kali ini lebih melebar. 
Ibunya  tersentak.
Terkebil-kebil matanya memandang qalbi. 

" Beritahu ibu sayang.. apa yang qalbi tahu di mana abang mujahid? " ibu  cuba membalikkan tubuhnya. Tidak kuat untuk menghadap qalbi sambil sengaja cuba menyibukkan diri membasuh pinggan mangkuk di sinki. Kehilangan seorang anak yang ditatang minyak penuh bagai menjerut hatinya selama ini,.

" Ibu , tadi waktu kelas qalbi tanya ustazah. kat mana abang qalbi sebab ibu tak pernah beritahu qalbi ke mana abang mujahid pergi hari tu selepas orang ramai balut-balut abang bawa pergi mana entah. Jadi qalbi nak tahu sangat, itu yang qalbi tanya ustazah . Ibu tahu apa ustazah cakap kat qalbi ? " Ibunya kelu, memalingkan kembali wajahnya ke arah qalbi..meletakkan pinggan mangkuk yang dibasuhnya tadi. Budak ini, alahai~ bersinar-sinar mata jernih qalbi 

" Apa yang ustazah cakap kat anak ibu ni? kongsi dengan ibu . " Entah kenapa ada cahaya kegembiraan yang terserlah pada wajah anaknya. 

Sambil berpusing-pusing bagai puteri kecil yang comel, qalbi kemudiannya memeluk erat  ibunya sambil berbisik, 
" Ustazah cakap, abang dah jadi bintang. salah satu bintang kat langit TUHAN. ustazah kata lagi, kalau qalbi rajin solat dan baca quran untuk abang , bintang abang akan bersinar-sinar. Nanti bila bersinar terang, baru qalbi boleh nampak mana satu abang . Waktu tu mesti abang tengok qalbi balik sebab qalbi dah jadi adik abang yang solehah dan comel. qalbi nak jadi rajin, qalbi tak nak jadi nakal-nakal lagi. "

Gugur sedikit demi sedikit mutiara jernih ibu. Kanak-kanak ini..terlalu polos dan suci. Tidak menyangka jawapan itu yang bakal timbul di bibir mungil si kecil itu. Tidak mampu berkata sepatah kalimah pun, Ibu hanya mampu memeluk kembali qalbi. 

" Ibu, kenapa Ibu nangis? qalbi ada silap cakap apa-apa ke? " qalbi gugup. Kenapa ibunya menangis? Silapkah dia terbitkan soal abangnya. 

" Ibu, maafkan qalbi.. " Dia turut sebak.
Ibu menggeleng-gelengkan kepala, ibu apakah dia membuatkan anaknya sendiri risaukan perihal dirinya.
" Tak sayang, Ibu cuma rindukan abang mujahid bila qalbi sebut pasal dia. Ibu nangis sebab gembira anak ibu dah pandai dan nak jadi solehah. " 
Qalbi mengesat air mata ibunya, sambil menganggukkan kepala. 

" Ibu, kalau Ibu rindukan abang, nanti kita baca quran untuk abang nak tak? ibu ajar qalbi ye. nanti kalau kita berdua baca quran banyak-banyak untuk abang, mesti bintang abang lagi bersinar kan ibu.. abang mesti tahu ibu dan qalbi rindukan abang.  "

Ibu senyum. 
Anak gadisnya pula cuba menenangkan hatinya. Tidak sia-sia benih yang dia kandung selama ini akhirnya menjadi insan yang begitu suci. 
" Baik qalbi, Jom kita lumba. Kalau sehari siapa tak baca quran, dia kalah. Jadi, kalau siapa kalah, abang tak kan jenguk orang yang kalah tau. "

Ibu mencuit lengan kecil anaknya, kedua mata mereka bersinar galak sambil berpandangan. Mengganguk keduanya.. 

Secekal Ummu sulaim..

*Bintang...... Di sana kau berdiam, terukir megah dan bersinar.

--------------------------

Qalbi menyentuh kandungannya. Janin yang terisi benih cinta antara dia dan Khalis makin membesar . Genap 6 bulan benihnya ..Dan 6 bulan itulah dia telah kehilangan Khalis. Sang arjuna , pahlawan yang telah menawan satu-satu hatinya. Syahid di medan perang Palestin saat mengerah keringat menyelamatkan mangsa-mangsa yang tidak berdosa, Kem perubatan di bom dengan kejam oleh Rejim Zionis itu.
 Qalbi tidak pernah menyesal..kerna khalis, benihnya pasti akan mewarisi semangat mujahid suaminya. Kerna itu, dia seakan merasa khalis sentiasa hidup di dalam dirinya.  Dan dia tahu khalis sentiasa memerhatikan dia dari atas sana. Terukir di bintang nan terang.


" Andai bukan dunia tempat untuk bertemu
Biar di syurga nanti kita menyeru "


Sering sahaja dua baris ayat tersebut bermukim di bibir khalis sebelum dia meninggalkannya lebih jauh . Mungkin khalis sudah sedia tahu dia bakal pergi, pasti ke syurga. Dan benih ini, Allah anugerahkan untuknya bagi menemani hari-hari yang bakal mencabar nanti.
 Janinnya bergerak-gerak, mungkin mendengar isi hatinya yang tercuit lara, bagai memujuk..benih yang paling dekat di hati,sebati dengan diri. Manakan tidak merasa apa yang terkandung di sanubari. 

Saidatina Maryam.
Nama Serikandi itu meniti indah di bibirnya. Resapan dinding kekuatan yang kukuh menjalar di setiap pembuluh jasadnya. Sedangkan saidatina maryam mampu membesarkan Nabi Isa dengan sendirinya , walau saat itu dicemuh, dihina dan dianggap penzina. Namun kerna amanah daripada Rabbi, beliau tegar berdiri melahirkan dan mengasuh Nabi Isa tanpa seorang suami disisinya. Dia tidak bersuami, namun Allah telah anugerahkan kurniaan yang paling besar kepada dirinya. Ibu kepada seorang Nabi . Subhanallah. 
Saat maryam mempersoalkan , Tuhan menjawabnya dengan tenang. 


“......Kami mengutus roh Kami (Malaikat Jibril) kepadanya (Maryam), maka ia menjelma di hadapannya (dalam bentuk) manusia sempurna. Maryam berkata, ‘Sesungguhnya aku berlindung daripadamu kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, jika kamu seorang yang bertakwa.’ Ia (Jibril) berkata, ‘Sesungguhnya aku hanyalah seorang utusan Tuhanmu, untuk memberimu seorang anak laki-laki yang suci.’ 
Maryam berkata, ‘Bagaimana akan ada bagiku seorang anak laki-laki yang suci padahal tidak ada seorang manusia pun yang menyentuhku, dan aku bukan pula seorang penzina.’ Jibril berkata, ‘Demikianlah. Tuhanmu berfirman, “Hal itu mudah bagi-Ku, dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat dari Kami, dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan.”

Sudah~
Maka, kudrat mana yang menghalang aku untuk membesarkan benih yang aku cinta ,anugerah tulus daripada-NYA? Tiada yang Berhak kecuali DIA.

Khalis, Benih cinta kita bakal jadi pewaris perjuangan kita. Moga benih inilah yang mempertemukan antara kita di syurga sana. Nantikan ku di batas waktu ,khalis. 

--------------------------

" Qalbi, Musfirah ingin sekali bertemu denganmu. Masihkah kau punya waktu? "
Satu pesanan ringkas menjengah telefon bimbit. Kala dinihari memancarkan sinarnya, saat baru ku kuakkan jendela, meninjau fajar yang masih segan silu mempamerkan wajah gagahnya.
Musfirah hadir kembali menuai kisah yang tidak akan pernah mati dalam hidupnya. 

Musfirah. 
Sahabat yang sudah lama berdiam diri. 
Sayu,  kehilangan sahabat yang pernah menjadi pembelah jiwa, membuang dirinya kerna hasad yang tidak padam padanya, kerna seorang arjuna, retak sebuah persahabatan.
Ya Allah..Bukan ku pinta semua ini berlaku. 

Lantas, dengan lincah jari jemari membalas kembali khabar musfirah . Mana tahu yang keruh mampu dijernihkan kembali. 

" Musfirah, di restoran anjung sri tepi tasik jam 5 petang hari ini . "
Sebaris ayat sahaja dia pertaruhkan. Tapi sarat dengan siratan hijab yang perlu dia langsaikan. 

 --------------------------------

Masih pemilik mata hazel yang sama. 
Mata yang penuh dengan kesayuan dari dahulu dan kini. Dia tetap miliki kesepian yang sama. Hijab yang masih menutupi sebahagian wajahnya, jubah yang tersalut indah tetap menjadi pilihan busana hariannya. Namun, kenapa musfirah tampak tidak sebahagia dahulu. 
Musfirah, Masihkan engkau derita? adakah pulau yang engkau huni masih karam dan bahteramu terumbang ambing tanpa matlamatnya? Atau adakah saat ini aku berpeluang untuk meminjamkan sampan kecil yang aku miliki selama ini untuk engkau mengayuh ke pulau baru yang lebih indah ? Walau sampanku hanya punya dasar yang relatif datar dengan ukuran sekitar 5 meter, mungkin ia mampu menampung musfirah untuk berkayak ke perlabuhan idamannya. Biar tidak sekukuh kapal yang lebih kuat binaannya.. Siapa sangka sampan itulah yang sentiasa membawa aku ke perlabuhan seterusnya. Dan kali ini, harus ku berikan kepada musfirah. 

" Qalbi...."
Tangan ku digenggam, bagai tidak mahu dilepas walau seketika cuma. 
Genangan air matanya mengusik dan meruntun kalbuku. Jangan mus, jangan engkau menangis di hadapan ku. Hati ini tidak tertanggung menahan sebak. 

"Qalbi..Aku manusia berdosa ~" 
Aku memanggungkan kepala. Dosa apa yang dia maksudkan. Semua manusia tidak terlepas dari melakukakan dosa. Termasuk juga aku. 
" Aku manusia berdosa."
"Sangat berdosa qalbi..."
Diulang-ulang ayat yang sama. Aku kaget tanpa suara. Buntu . 
" Aku manusia yang berdosa .. "
Mujur hijabnya berwarna hitam gelap, mutiara-mutiara jernihnya tidak memberi kesan pada curahan yang membanjir itu. 

" Qalbi..ingat tak dulu, qalbi selalu melantunkan pemanis persahabatan kita , ' Ukhuwah kita moga ke jannah..' Bagaimana mus mampu masuk ke syurga andai tangan kanan dan kiri mus penuh dengan dosa yang menggunung? Hati mus dihempap dengan dosa yang tidak pernah hilang, jiwa mus hitam gelap. Tidak sepertimu qalbi yang putih suci hatimu. "

Aku masih kelu. Bukan kerna tidak mampu bersuara , tapi membiarkan musfirah meluahkan segala. Moga jiwanya terasa ringan selepas menuai resah kepadaku. Agar tanggungan di dalam hatinya akan beransur pergi sejauhnya. 
Aku membalas genggamannya. Aku sadurkan sepenuh kasih sayangku selama ini kepadanya. Kali ini lebih berganda kasih dan kecintaan ku melalui saluran gabungan  benih yang ku kandung selama ini. 

" Mus, Allah kasih kepada hamba-NYA yang mengaku berdosa dan bertaubat sepenuh hatinya. Allah itu Maha Pengampun kan sayang.. "

Aku pandang tepat ke mata beningnya. 
Biar jatuh ke hati apa yang hati ku ingin sampaikan kepadanya.

Genggamannya kendur.
" Tidak! Dosa aku dosa yang hina. Tidak layak seperti aku diampunkan-NYa. Aku berdosa qalbi.."

Fresh oren yang dihirup tidak mampu menyejukkan hati yang sedikit hangat atas tegangnya suasana. Lantas, aku menarik mus ke arah tasik yang pernah menjadi saksi kepada persahabatan kami. 

" Luahkanlah kepada ku mus. Ringankan hatimu yang penuh derita itu. Jangan biarkan hijabmu terus mencuriga pada pemiliknya "
Ku usap bahunya. 
Curahlah musfirah..Aku ingin menjadi air yang menyejukkan hatimu atau aku ingin menjadi api yang menghangat untuk mencairkan kebekuan yang menyakitimu itu.

" Aku.. pernah terlanjur. Dan benih yang ku kandung telah ku bunuh dan ku buang tanpa perikemanusiaan. Aku berdosa ! Aku berdosa .."

Tangkai jantungku bagai gugur seketika. Tersentap dengan perkhabaran yang di terima.
Benarlah , yang menhijab manusia adalah iman dan islam dalam jiwa. Bukan busana yang anggun , labuh dan tertutup itu yang menjadi pengadilan kepada manusia di akhirat sana. 
Nafsu, Jika tidak dilatih patuh kepada kita, akhirnya pasti memakan diri dan membuatkan kita turut binasa. Subhanallah. 



( Bersambung )



-Atin Jieha ,Pemilik SKH-


☂Asal Allah redho,Tinta Ini Pasti Bernada.Ya, Teruskan Tersenyum!☂

0 ulasan:

 
COPYRIGHT@Segala Yang Tercatat Di Atas Semua Hak milik Atin Jieha Pemilik SKH