Isnin, Disember 03, 2012

:: Cahaya ::

Views



Mengintai langit malam
Ku campakkan pandangan ke butir-butir bintang
Terkadang terasa mahu mengambil busur
Memanah tepat ke arah bintang
Lalu jatuh ke riba
Dan bakal ku bawa ke ruangan kecil ku
Tongkatkan ia di atas siling kosong
Maka, saat setiap malam yang menjelma
Tika mata liat untuk melelapkan lena
Lantas boleh ku renung bahagia bintang-bintang yang terpatri pada silingku yang kelam


"Cahaya ..."
Aku toleh.
Gerangan siapa yang menganggu lamunan.
Gelap gelita yang ku pandang , tiada siapa di belakang.
" Cahaya..."
Kali ini aku menghadap betul-betul ke belakang, tepat ke arah suara yang berpinar kabur-kabur kelam.
"Akulah Cahaya. Aku ini Badang "
Terkebil-kebil.
Badang mana yang menjadi jemputan kali ini di kamar sunyi ku.
Dia lambai-lambaikan tangan, di sisinya ada lembing, ada satu nashkah Al Quran . Tangan kanannya memegang kejap, terletak di dadanya.

" Mengapa dipanggil nama aku cahaya? Aku hanya Nur. Dan tidak ku kenal engkau siapa. Siapa gerangan engkau , wahai jejaka? "
Dia tertawa kecil.
Aku Mendengus. Kelakarkah soalan yang aku utarakan ?
Lalu , aku biarkan. Kembali membalikkan tubuh menghadap jendela yang terbentang luas.
Angin dingin yang mengigit jasad, terasa sejuk mencengkam.
Tapi aku tenang.

" Bukankah NUR itu kalau diterjemah, maka maksudnya CAHAYA wahai bidadari ? "
Papp!!
Aku rasa terpukul.
Ishh, bagaimana akal ku tidak mampu mengaksara maksudnya. Nama sendiri, aku yang patut tahu tafsirnya.

" Sudah..sudah. Ya benar aku salah. Cuma aku pelik sahaja, mengapa perlu mu memanggil aku CAHAYA? Kenal engkau pun tidak. Diceroboh pula kamarku ini. Sudah ada permit dari-NYA? "

" Sudah..Ini permitnya. "
Sambil di goyang-goyangkan sekeping kertas yang berbentuk hati. Tersenyum .

" Apa ada mahu mu berjumpa dengan ku? Barangkali kita sebenarnya tiada langsung urusan . "
Aku pasangkan beberapa batang lilin .
Biar Kamar yang gelap ini diterangi sinar.
Aku letak satu persatu di setiap sudut, di atas bangku , ditepi ruangan jendela, di hujung katilku.. Semualah.. Yang penting aku cerahkan setiap pelusuk ruanganku.

Dia, sekadar memerhati.
Aku, teruskan gerak geri.

" kerna itu engkau CAHAYA.Engkau terangi apa yang malap, sinarkan apa yang gelap. "
Aku memandang badang.
Sebenarnya, wajahnya masih tidak dapat ku lihat.
Hanya separuh jasadnya yang kelihatan, wajahnya disembunyikan disebalik hijab. Yang menarik perhatianku kepadanya ada dua perkara,
Lembing itu.
Dan Nashkah Al Quran itu.

Dia bersuara lagi,
Aku ambil langkah berdiam diri.
Tidak pula aku lari.
Sebab permit di tangannya menjadi bukti.
Bahawa dia dihantar oleh ILAHI.

" Sebelum ini engkau bidadari kecil itu kan? Yang pernah memiliki tongkat sakti dan diarahkan untuk menebarkan warna-warna pelangi di setiap taman yang engkau singgah . Betul? "

Aku angguk.
" Itu aku. Tapi itu dahulu.. "

"Ada yang beda ya dahulu dan kini?"
 Dia, si badang bertanya lagi .
Ku tekup wajahku pada kedua belah tangan, kanan kiri ku terasa bergetar.
Serasa butir-butir mutiara yang aku himpun dalam tempayan hati bakal terkocak.

" Iya! bedanya dahulu aku bidadari kecil yang gagah, pantas sahaja aku mewarna.. di sana sini aku menuai benih-benih cinta , aku lukiskan pelangi di setiap kanvas yang aku singgah, aku lantunkan segala firman daripada TUHAN untuk manusia-manusia yang aku lihat sedang mengaduh duka dan kesal, aku punya sayap yang membuatkan ku terbang ke sana sini, dan di saat aku bergurindam ..pasti ada tangan-tangan mulus yang menyentuh dan mengusap kepalaku ini. Tapi yang kini, semua itu sudah musnah . Hancur di tangan ku sendiri. "

"Mengapa? "
Badang menyoal.
Badang  meletakkan nashkah Al Qurannya hampir dengan ku.

" Aku tidak mampu beraksi seperti dahulu. Sayapku sudah hilang, tongkat sakti ku sudah dipulang. manusia-manusia yang aku pernah menghadiahkan mereka sejalur pelangi, tidak aku tahu dimanakah mereka pergi. Dan Aku sunyi. Tarbiyah pada hatiku tiada dapat diterangi, kegembiraan ku bagai pupus di telan bumi. Dan.. ada suara yang pernah berbisik, bahawa aku ini dikurung oleh Hati. Hati kotorku yang memenjarakan aku sendiri. kerna itu, aku dihukum dengan hukuman SEPI.  Yang aku ada kini, kamar yang sepi, satu jendela. Tiada yang ambil peduli , tiada yang mahu mengetahui .  "

"Cahaya... "
Badang tergamam.
" Kenapa ada air di tubir matamu? "

Katanya dia tidak pernah melihat air mata.
Entah dia dari dunia mana.

"Nah, aku terlupa pula untuk menyerahkan permit yang berbentuk hati ini. Ada tertulis disitu segala jawapan. Segalanya termaktub dari firman-NYA. Engkau pasti tahu, kerna engkau juga sentiasa membaca ayat-ayat cinta-NYA yang berbaur kasih dan cinta, islam dan agama, peringatan dan kisah terdahulu . Tentang utusan-NYA jua. segalanya.. "

Aku ambil.
Perlahan-perlahan ku buka lipatannya. 
Mahu tahu apa isi di dalam.
Surat cinta daripada ILAHI katanya. Mungkin jawapannya boleh bawa ku keluar, jauh dari malap, dari gelap, dari kelam. 

Di situ ada tertulis , 'Untuk CAHAYA' daripada 'PENCIPTA CAHAYA'. 
Dengan Basmallah , ku bacanya. 

" Cahaya, 
Ini Firman-KU, Untuk engkau hamba-KU. Ingat lagikah dalam surah YUNUS, semua ini tercatat megah . 
Tentang perkataan 'Gelap, Gelita '.
Cahaya, 
Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan. Pasti ada pahala yang terbaik iaitu Syurga. Dan, wajah mereka tidak akan ditutupi debu hitam dan tidak pula dalam kehinaan. Ya, mereka itulah penghuni Syurga. Mereka kekal di dalamnya. 
Tetapi cahaya,
Adapun orang yang berbuat kejahatan, pasti akan mendapat balasan kejahatan yang setimpal dan diselebungi kehinaan.Malah, tiada bagi mereka seorang pelindung pun dari azab ALLAH , seakan-akan wajah mereka di tutupi kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Mereka itu penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya...
Cahaya,
AKU pemberi cahaya kepada langit dan seisi bumi. Ya, Cahaya di atas cahaya, dan AKU pemberi petunjuk pada setiap yang gelap.. yang terdapat pada Dunia. Mengapa perlu malapkan cahaya yang sedia ada. Patut padamu gilapkan lagi cahaya itu. Terangi di setiap pelusuk hatimu. Biar noda hitam jahiliah bertempiaran lari dari kepingan hati dan jiwamu. Cuci kembali hatimu dengan Zikrullah, Pancangkan kembali senjatamu yang berbentuk qudwah hasanah.Engkau perlu berubah.. "

Isinya tepat mengena. 
Subhanallah, Syukran Rabbi. 
Ditarik nikmat sekali, Bukan bererti Allah tidak mengasihi .
Diuji kecintaan ku kepada RABBI, sejauh mana iman yang disemai. Turun naik, naik turun. Sayapku pupus kerna mahu aku berdiri teguh dengan kaki sendiri, tongkat sakti ku yang dipulang kerna mahu ku ganti dengan mushaf yang lebih jitu isinya. 

" Aku , perlu mengenakan busana 'GAGAH' kan badang? "
Spontan bibirku menguntum soal buat badang.

" Pastinya Cahaya.. Dan engkau pasti lebih bersinar dengan busana 'Gagah'mu, di kait dengan Benang sutera 'Teguh' , di anyam dengan 'Kalis Putus asa'. "

Dan, aku berpuas hati. Jawapannya memang benar kali ini. 
" Ya, ya.. Tapi di mana harus ku tempah busana 'GAGAH' itu  wahai badang ? "

Badang tersenyum.
Dia merapat dan membuka hijab yang menyembunyikan wajahnya. 
Naskah Al Qurannya yang diletakkan tadi di ambil kembali. 
Di serahkan kepadaku , lantas beralih ke belakang setapak. Wajahnya saat itu bercahaya..

" Kerna itu Cahaya, TUHAN kita kirimkan aku datang kepadamu. Aku , si penenun itu. Yang bakal menjahit busana GAGAH mu itu. Pendamping yang tertulis di luh mahfuz.. 
Aku hadir kerna TUHAN telah membunyikan seruan kepadaku, lantas menghantarku padamu, untuk  seraya berkata bahawa engkau wahai cahaya..adalah bidadari duniaku yang tertulis di sana. "

Terasa terapung sekujur jasad,
Tertunduk segan,
Bagai bidadari yang menyembunyikan wajah malunya di balik kelopak bunga, itulah lakaran yang padan untukku. 
Bibirku mengguman Asma-NYA..
Syahadahku pula diulang-ulang untuk mengegarkan tangkai jantungku.
Lailahaillah...
Tiada TUHAN selain Allah~..
  Yang Gelap bertukar jadi Cerah. 
Kamar yang sepi menjadi Taman yang indah. 
Kembali berirama alunan suci ayat-ayat Al Quran..
Subhanallah..
Hebatnya percaturan dan perancangan ALLAH! 



-AtinJieha-
4Disember2012
00:55 a.m

Rentetan siri dari sketsa Tongkat Sakti  


















☂Asal Allah redho,Tinta Ini Pasti Bernada.Ya, Teruskan Tersenyum!☂

1 ulasan:

Abdullah Hakimi berkata...

Teruskan melakar dengan rasa cinta,
Menusuk ke dalam hati-hati,
Sehingga bertemu dengan Pencipta cahaya.

Lillahi Ta'ala. ^^

 
COPYRIGHT@Segala Yang Tercatat Di Atas Semua Hak milik Atin Jieha Pemilik SKH